Wednesday 9 August 2017

Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Ke-24

Alhamdulillah AJK MPSM Kebangsaan berkesempatan menghadiri Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Ke-24 di Institut Aminuddin Baki Cawangan Genting Highlands bersama-sama rakan-rakan pengetua dan pendidik-pendidik dari universiti-universiti tempatan dan institusi-institusi pendidikan lain dari seluruh negara. Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Ke-24 atau ringkasnya SN24 diadakan dari 7 hingga 10 Ogos 2017. Tema SN24 adalah "Transformasi Pemikiran Ke Arah Kecemerlangan Pendidikan Abad Ke-21"



Seminar kali ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato' Seri Mahdzir bin Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia pada Selasa 8 Ogos 2017 di Auditorium Dato' Razali Ismail.


AJK MPSM Kebangsaan bersama Dato' Sri Alias Hj. Ahmad, KSU KPM


Pada seminar ini, sebelas kertas penyeledikan yang berdasarkan lima subtema di bawah telah dibentangkan.
  1. Pemikiran strategik: Satu keperluan ke arah bina upaya kepimpinan berprestasi tinggi
  2. Pemimpin berpemikiran keusahawanan mampu mendepani cabaran
  3. Kepimpinan sekolah mencetuskan pemikiran futuristik ke arah pendidikan bertaraf dunia
  4. Pemikiran berwawasan: Asas perubahan organisasi ke arah budaya kerja cemerlang
  5. Keupayaan pemimpin pendidikan berpemikiran sistemik dalam usaha meningkatkan kecemerlangan pengurusan orgaisasi.

Friday 4 August 2017

Pusat Sumber SMK Rancha Rancha - Pilihan Utama Komuniti Wilayah Persekutuan Labuan

Sebagai Pusat Sumber yang mempunyai Ciri PSS Abad 21, Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha telah mendahului pencapaian pusat sumber sekolah di seluruh di Wilayah Persekutuan Labuan. Dengan pelbagai kemudahan dan prasarana yang lengkap, Pusat Sumber SMK Rancha-Rancha telah mengorak langkah drastik melalui pelbagai program ilmu dalam pengurusan ko-akademik dan kokurikululum pelajar dengan pencapaian luar biasa yang telah diperolehi setakat ini.

Prasarana PSS DSDN yang lengkap


Dalam usaha mencapai kecemerlangan dengan kepelbagaian fungsinya, Pusat Sumber SMK Rancha-Rancha yang disusun tadbir oleh Tuan Pengetua En. Omar Baki bin Matusin telah merancang pembangunan pusat sumber sekolah dengan efisien dan terancang. Melalui perancangan jangka panjang 5 tahun pusat sumber sekolah berkenaan, banyak pembangunan telah dan akan dilaksanakan mengikut perancangan yang telah dibuat oleh PSS SMK Rancha-Rancha. En Sapri bin Idris sebagai Guru Perpustakaan dan Media sekolah SMK Rancha-Rancha yang sentiasa komited dalam mencapai objektif yang disasarkan oleh Tuan Pengetua En Omar Baki bin Matusin

En.Omar Baki bin Matusin, Pengetua SMK Rancha-Rancha
Selain membuat rangkaian jalinan dan jaringan dengan pihak luar, Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha telah melaksanakan program pintar bersama masyarakat setempat dengan menjadikan Pusat Sumber sekolah berkenaan sebagai pusat sumber komuniti. Usaha ini dimulakan apabila Datin Seri Dato Hajah Norsiah binti Abdullah telah dilantik sebagai penaung pusat sumber sekolah berkenaan pada tahun 2015. Dalam menjamin pengurusan yang cemerlang, penaung pusat sumber SMK Rancha-Rancha iaitu Datin Seri Dato Hajah Norsiah binti Abdullah telah menempatkan seorang pegawainya di Pusat Sumber SMK Rancha-Rancha bagi membantu pengurusan PSS oleh guru perpustakaan dan media SMK Rancha-Rancha.

Datin Seri Dato Hajah Norsiah binti Abdullah dilantik sebagai penaung PSS SMK Rancha-Rancha
Memorandum persefahaman PSS SMK Rancha-Rancha bersama Perpustakaan Awam Perbadanan Labuan


Memeorandum persefahaman PSS SMK Rancha-Rancha bersama PSS SMK Putrajaya Presint 9-2
Penolong Kanan Pentadbiran SMK Rancha-Rancha, Ustaz Abdul Rahman bin Ahmad telah menyokong kuat usaha yang dilakukan oleh GPM sekolah SMK Rancha-Rancha. Beliau menyatakan “ usaha menjadikan PSS DSDN SMK Rancha-Rancha sebagai pusat sumber komuniti adalah satu usaha terancang SMK Rancha-Rancha dalam mendekatkan masyarakat dengan pihak sekolah ”

Pusat Sumber DSDN (Datin Seri Dato Norsiah) SMK Rancha-Rancha telah mewajibkan ibu-bapa pelajar di sekolah tersebut menjadi ahli komuniti pusat sumber sekolah. Yuran keahlian dikenakan kepada setiap ahli iaitu hanya RM 5.00 seorang. Pelbagai kemudahan disediakan untuk ahli komuniti PSS DSDN SMK Rancha-Rancha. Setiap hari Sabtu ahli komuniti boleh mendapatkan perkhidmatan di Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha dari jam 9 pagi hingga 1 tengahari. Sehingga kini jumlah ahli komuniti PSS DSDN SMK Rancha-Rancha telah mencapai 340 orang. Antara kemudahan yang diberikan ialah pinjaman buku, majalah, akses internet, rujukan dan juga Nilam Lounge.


Pendaftaran keahlian komuniti PSS DSDN SMK Rancha-Rancha
Usaha telah dilakukan untuk memperkenalkan Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha sebagai pusat sumber komuniti. Antara usaha-usaha lain yang telah dibuat adalah menyertai pameran Ededeh Berdudun Kitani di Kampung Sungai Bedaun 2017. Program ini telah mendapat perhatian daripada Pengarah Jabatan Pendidikan W.P Labuan iaitu Tn. Raisin bin Saidin. Beliau telah memuji pameran yang telah dibuat oleh PSS DSDN SMK Rancha-Rancha yang sanggup turun padang bersama komuniti setempat. Selain menyertai pameran di Kampung Sungai Bedaun, PSS DSDN juga telah mengadakan sesi bertemu penduduk tempatan ketika Program Labuan Street Arts di buat di Taman Muhibbah Labuan.


Pameran Pusat Sumber Komuniti PSS DSDN
Pihak sekolah berharap, komuniti setempat di W.P Labuan dapat mendapatkan perkhidmatan PSS DSDN SMK Rancha-Rancha. “Usaha memupuk budaya membaca perlu diperluaskan lagi dan usaha ini bukan hanya bertumpu kepada pelajar sahaja tetapi budaya amalan membaca perlu dibugarkan lagi dalam kalangan komuniti setempat” kata Tuan Pengetua En. Omar Baki bin Matusin. Keberkesanan pengurusan Pusat Sumber SMK Rancha-Rancha ini terbukti apabila banyak kunjungan dan lawatan daripada pihak komuniti setempat dalam dan luar datang ke PSS DSDN SMK Rancha-Rancha.

Menerima kunjungan Lembaga Kemajuan Wilayah

Menerima kunjungan Lembaga Peperiksaan Malaysia

Menerima kunjungan Pengarah Jabatan Pendidikan WP Putrajaya
Cikgu Sapri bin Haji Idris, Guru Perpustakaan dan Media SMK Rancha-Rancha bertindak sebagai perancang dan pelaksana pembangunan Pusat Ilmu di SMK Rancha-Rancha

Kiriman: Encik Omar Baki Matusin, Pengetua SMK Rancha-Rancha, WP Labuan merangkap Yang Dipertua MPSM Wilayah Persekutuan Labuan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...